RSS

111035088810136061

09 Mar

berita utama hari ni:

Pentadbiran UTM disiasat — Kementerian bertindak ekoran pensyarah dakwa 128 penyelewengan

Oleh AZMAN ISMAIL

PUTRAJAYA 8 Mac – Kementerian Pengajian Tinggi hari ini menubuhkan Panel Khas Salah Laku Kakitangan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) bagi membuat siasatan menyeluruh berhubung dakwaan 128 penyelewengan membabitkan kakitangan, termasuk Naib Canselor universiti itu.

Menterinya, Datuk Dr. Shafie Mohd. Salleh berkata, panel khas tersebut mesti menyiapkan laporan lengkap berhubung perkara itu dalam tempoh sebulan.

Katanya, panel khas itu akan diketuai oleh Pengarah Jabatan Pendidikan Tinggi, Prof. Datuk Dr. Hassan Said.

“Panel itu akan bertanggungjawab membuat siasatan menyeluruh terhadap pembuat aduan dan semua yang didakwa terlibat dalam penyelewengan di UTM serta menyiapkan laporan kepada kementerian.

“Selain itu, panel juga akan membuat siasatan terhadap Naib Canselor (Prof. Datuk Dr. Mohd. Zulkifli Mohd. Ghazali) dan kita tidak memilih dalam hal ini,” katanya di sini.

Semalam seorang pensyarah UTM, Prof. Madya Abdul Hamid Yeop Zainuddin membuat laporan kepada Badan Pencegah Rasuah (BPR) di Johor Bahru berhubung dakwaan 128 kes penyelewengan di universiti itu.

Turut dinamakan dalam laporan tersebut ialah Naib Canselornya.

Abdul Hamid sebelum ini telah diminta mengemukakan surat tunjuk sebab oleh UTM yang memintanya memberi jawapan dalam tempoh seminggu mengapa beliau tidak boleh dikenakan tindakan tatatertib kerana melanggar peraturan di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972 (OSA) dan Akta Badan-Badan Berkanun (Tatatertib dan Surcaj) 2000 berhubung penjualan maklumat UTM kepada pihak luar.

Shafie berkata, jawatankuasa panel tersebut akan terdiri daripada pegawai-pegawai yang mempunyai integriti dan kepakaran masing-masing.

“Senarai jawatankuasa panel khas ini akan kita umumkan dalam tempoh seminggu lagi dan mereka pastilah orang yang mempunyai kepakaran,” tambah beliau.

Ditanya bentuk tindakan yang akan diambil terhadap pelaku penyelewengan tersebut, Shafie berkata, ia bergantung kepada hasil laporan penyiasatan panel khas itu.
“Ini kes dalaman dan kita menunggu hasil siasatan panel khas ini dulu baru kita buat keputusan yang sewajarnya terhadap mereka yang terbukti bersalah,” tambah beliau.

_______________

dalam negeri hari ini:

Laporan BPR konspirasi jatuhkan saya – Zulkifli

KUALA LUMPUR 8 Mac – Naib Canselor (NC) Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Datuk Prof. Dr. Mohd. Zulkifli Mohd. Ghazali mendakwa laporan Badan Pencegah Rasuah (BPR) yang dibuat oleh seorang pensyarah universiti itu terhadapnya semalam merupakan satu fitnah dan konspirasi untuk menjatuhkan beliau.

Menurutnya, fitnah tersebut adalah sebahagian daripada perancangan yang merosakkan reputasi beliau.

“Walaupun tempoh pelantikan saya hanya tinggal sembilan bulan lagi, namun ada mereka yang berniat tidak baik terhadap saya,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau mengulas mengenai tindakan pensyarah terbabit, Prof. Madya Abdul Hamid Yeop Zainuddin yang membuat laporan kepada BPR semalam bahawa terdapat 128 kes penyelewengan dan salah laku membabitkan kakitangan universiti termasuk Naib Canselor.

Menurut Mohd. Zulkifli, konspirasi terhadap beliau dilakukan dalam pelbagai bentuk seperti penyebaran surat layang atau fitnah sehingga menyebabkan beliau terpaksa membuat penjelasan kepada Tan Sri Musa Mohamed yang ketika itu Menteri Pendidikan, dan timbalannya masa itu, Datuk Aziz Shamsuddin.

“Begitu juga dengan maklumat palsu yang menyatakan saya terlibat dengan gerakan bawah tanah dan Jemaah Islamiah (JI) hingga disoal siasat oleh Biro Perisikan Persekutuan (FBI) semasa di Boston,” katanya.

Ujarnya, tuduhan sedemikian membahayakan keselamatan dirinya dan keluarga, mencemarkan nama baik serta mengganggu tumpuan untuk melahirkan generasi Cemerlang, Gemilang dan Terbilang.

“Saya akan mengemukakan saman fitnah atau malu terhadap dakwaan yang bersifat peribadi kepada mereka yang terlibat,” jelasnya.
Beliau juga berharap dapat berjumpa dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dalam masa terdekat ini bagi menjelaskan situasi sebenar.

_________________

dalam negeri, semalam:


Pensyarah buat laporan BPR dakwa penyelewengan kakitangan UTM

JOHOR BAHRU 7 Mac – Seorang pensyarah di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof. Madya Abdul Hamid Yeop Zainuddin hari ini membuat laporan di pejabat Badan Pencegah Rasuah (BPR) di sini mendakwa terdapat 128 kes penyelewengan membabitkan kakitangan universiti itu.

Turut dinamakan dalam laporan oleh pensyarah dari Jabatan Matematik UTM itu ialah seorang pegawai akademik kanan universiti itu.

Abdul Hamid ketika ditemui di pejabat BPR tengah hari ini mendakwa, beliau turut menyerahkan dokumen rahsia UTM yang perlu disiasat secara terperinci oleh badan itu.

“Saya telah menemui Timbalan Pengarah BPR, Wong Chee Kong pada pukul 10.30 pagi untuk mengemukakan laporan salah laku orang tertentu di dalam UTM termasuk Naib Canselor,” katanya ketika ditemui pemberita selepas membuat laporan itu selama tiga jam di sini.
Katanya, beliau yakin pihak BPR akan membuat siasatan sewajarnya ke atas aduan yang telah dikemukakannya itu.

Sabtu lalu, pensyarah berkenaan telah membuat laporan polis terhadap Naib Canselor universiti tersebut kerana didakwa memfitnahnya berhubung penjualan maklumat Penyediaan Sistem Maklumat Markah (MKK) Fakulti Sains UTM.

Abdul Hamid sebelum in telah menerima satu surat tunjuk sebab dari UTM yang memintanya memberi jawapan dalam tempoh tujuh hari mengapa beliau tidak boleh dikenakan tindakan tatatertib kerana melanggar peraturan di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972 (OSA) dan Akta Badan-Badan Berkanun (Tatatertib dan Surcaj) 2000 berhubung penjualan sistem maklumat UTM kepada pihak luar.

“Saya terpaksa membuat laporan kepada BPR untuk mendedahkan beberapa salah laku yang berlaku di dalam kampus UTM memandangkan tiada seorang pun yang berani tampil untuk mendedahkannya.

“Di sini saya memohon kepada Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Dr. Shafie Mohd Salleh menubuhkan satu panel siasatan khas yang dilantik oleh Menteri sendiri supaya menyiasat apa yang berlaku di UTM.

“Mengenai dakwaan ke atas saya yang dikemukakan melalui surat tunjuk sebab oleh Pendaftar UTM, Wan Zawawi Wan Abd. Rahman bagi pihak Naib Canselor pada 3 Mac lalu, saya akan hanya menjawabnya dakwaan yang dibuat kepada panel yang dilantik oleh Menteri,” tegasnya.

Sementara itu, Chee Kong ketika dihubungi mengesahkan menerima maklumat daripada pensyarah tersebut.

“Dia ada bercakap kepada saya dan saya terima segala apa yang dikemukakannya. Jika ada asas dalam apa yang dilaporkan kepada kami, pihak BPR akan berikan perhatian,” katanya.

 
Leave a comment

Posted by on March 9, 2005 in crash and burn

 

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: